KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembudayaan koperasi boleh menggerakkan pembangunan keusahawanan desa.
Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) terus melipatgandakan usaha menganjurkan program-program memasyarakatkan koperasi di pelusuk negara termasuk di kawasan luar bandar.
“Saya percaya, pembudayaan keusahawanan dikalangan masyarakat dapat dipertingkatkan melalui gerakan koperasi, sebab itu kita telah mengadakan program khas pada hari ini supaya penyertaan masyarakat lebih meluas.
“Kita tidak mahu Mukim Tengkurus (kawasan luar bandar) ketinggalan daripada menikmati manfaat yang disediakan oleh kementerian melalui agensi kita,” katanya di sini semalam.
Ewon berkata, hasil daripada pelaksanaan program membudayakan masyarakat berkoperasi yang dilaksanakan sepanjang tahun, jumlah koperasi berdaftar di seluruh negara terus meningkat.
“Pada tahun lepas kita telah melaksanakan program itu di banyak tempat seluruh negara dan hasilnya, pendaftaran koperasi yang terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak 1,001 koperasi baru didaftarkan tahun lepas.
“Saya percaya, ia banyak disumbangkan melalui usaha yang dibuat oleh kementerian dan juga agensi khususnya SKM dan IKMA yang telah mengadakan sesi libat urus dan turun padang memberi galakan kepada masyarakat untuk menubuhkan koperasi,” jelas Ewon.