PENAMPANG: Dua lelaki tempatan dicekup kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Pintas Penampang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton berkata, kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melebihi had alkohol yang ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 19 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tujuh kes membabitkan pemandu tanpa lesen.
Dalam operasi itu, seramai 63 individu dan 50 kenderaan diperiksa oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang yang diketuai Inspektor Rozami Ahmad bersama tujuh anggota.
