Pemandu Kelisa maut kenderaan bertembung pacuan empat roda di Kota Marudu

KOTA MARUDU : Seorang lelaki maut selepas selepas kenderannya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan di Jalan SMK Kota Marudu I, Jalan Goshen, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, pasukan Bomba bagaimanapun berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa kemudiannya di hantar ke hospital Kota Marudu untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, bagaimanapun mangsa memandu Kelisa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Marudu manakala maklumat secara terperinci masih belum diperolehi.

“Pasukan Balai Bomba Kota Marudu bersama sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Dusin Sagaron bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.00 malam tadi.

“Ketika sampai di lokasi mendapati dua kenderaan iaitu sebuah Perodua Kelisa dan Toyota Land Cruiser dilaporkan telah bertembung menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hasbi berkata, pemandu kenderaan Toyota Land Cruiser dikenali sebagai Ronald Lesley Gomez, 59, hanya mengalami cedera ringan di hantar ke hospital untuk mendapat rawatan selanjutnya.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 2.37 awal pagi tadi,” jelas Mohd Hasbi.