TAWAU : Program Operasi Sifar Cicir (OPSICS) merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan setiap anak di Malaysia mendapatkan pendidikan yang berkualiti.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, beliau menekankan kepentingan kerjasama semua pihak, khususnya jabatan kerajaan, bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya.
Katanya, masalah keciciran pelajaran di negeri ini telah wujud sejak lama dan semakin serius, terutamanya di kawasan pedalaman.
“Terdapat kanak-kanak yang terpaksa berhenti sekolah disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah dokumentasi dan kesulitan ekonomi.
“Perlunya usaha berterusan dari semua pihak untuk melaksanakan program OPSICS dengan lebih kerap. Ini bertujuan untuk mengenal pasti punca keciciran pelajaran di kalangan kanak-kanak,” katanya.
Andi berkata, beliau menggalakkan agar ibu bapa dan penjaga dapat mendaftarkan anak-anak mereka belajar di sekolah kerajaan.
“Sebagai wakil rakyat, saya sangat menyambut baik pelaksanaan program ini secara berkala bagi membina matlamat kerajaan untuk membina modal insan melalui pendidikan dan mensifarkan kanak-kanak yang tercicir,” jelas Andi.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) memberi tumpuan kepada tiga kategori pendaftaran: murid warganegara, murid tanpa dokumen, dan murid bukan warganegara dan inisiatif ini penting untuk memastikan tiada kanak-kanak yang tertinggal dalam pendidikan.