TAWAU : Belanjawan 2025 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memberi impak positif kepada tiga sektor utama melalui Pembangunan Infrastruktur, Sosio-Ekonomi serta pembangunan modal insan kepada Sabah dan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg.Amir berkata, bajet ini sangat signifikan kepada sektor pembangunan infrastruktur terutama ‘Projek Pan Borneo serta ‘Sabah Sarawak Link Road (SSLR).
Katanya, bajet diumumkan ini akan mampu meningkatkan tahap kualiti serta keselesaan terhadap sektor pengangkutan disamping dapat memudahkan hubungan perjalanan antara Sabah dan Sarawak.
“Pengumuman bajet ini juga meliputi kerja-kerja menaik taraf pembesaran Lapangan Terbang Tawau secara tidak langsung mampu menampung meningkatkan tahap kapasiti penerbangan sekali gus memberi dorongan kepada sektor pelancongan terutama di kawasan Pantai Timur.
“Selain itu, penggunaan teknologi hibrid untuk bekalan air bersih dilihat akan dapat memastikan agar penduduk luar bandar termasuk di kawasan Pulau Sebatik, mendapat akses yang lebih baik kepada bekalan air bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hassan berkata, merujuk kepada sektor pembangunan Sosio-Ekonomi bajet ini dapat memfokuskan kepada pendidikan dengan pembangunan sekolah daif dan baharu.
“Ini termasuk memberikan keutamaan kepada pelajar berkeperluan khas, bagi meningkatkan akses dan kualiti Pendidikan, terutama di kawasan luar bandar terutama di DUN Sebatik,” jelas Hassan.
Menurutnya, secara tidak langsung peningkatan infrastruktur serta kemudahan ekonomi akan lebih banyak mewujudkan peluang pekerjaan akan diwujudkan khususnya dalam sektor pembuatan.
“Beberapa program bantuan sosial yang dirancang diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
“Bagi Sektor Pembangunan Modal Insan pula ia akan memberi peluang kepada penduduk Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan pendidikan, mempersiapkan mereka untuk cabaran kepada alam pekerjaan masa depan,” katanya.
Hassan berkata, dalam tempoh sama fokus juga harus diberikan kepada pengembangan sumber manusia yang berkualiti tinggi adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka Panjang.
“Ini secara tidak langsung mampu menggalakkan budaya inovasi serta kreativiti dalam kalangan masyarakat di negeri Sabah secara keseluruhanya.
“Bajet Madani dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha memajukan Sabah untuk meningkatkan kualiti hidup penduduknya terutama di kawasan luar bandar,” tambahnya.