LAHAD DATU : Seorang pemandu lori membawa muatan Baja Borax dari Tawau menuju ke Lahad Datu terbabas sendiri ke dalam gaung sedalam 30 meter di kawasan Lembah Danum Lahad Datu, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa berusia 51 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan serta pingang akibat tersepit di lori tersebut dalam kejadian jam 7.00 pagi.
Katanya, selepas tiba di lokasi kejadian pihaknya berusaha mengeluarkan mangsa tersepit berkenaan dengan menggunakan peralatan khas, namun masih gagal.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta dipantau oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pada jam 6.07 petang dengan menggunakan peralatan khas disamping dengan bantuan agensi lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumsoa berkata, selepas berjaya dikeluarkan mangsa seterusnya diberi rawatan awal sekali gus dibawa naik ke atas jalan raya menggunakan Stretcher dan tali.
“Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Ambulans untuk menerima rawatan selanjutnya.
“Bantuan kren dari Tawau daripada Agensi Trans Link Sdn.Bhd ketika ini sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan,” jelas Sumsoa.
Menurutnya, pihaknya bersama 10 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan lokasi kejadian, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 6.40 petang semalam,” kata Sumsoa.