Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri – Hajiji

KOTA KINABALU : Badan-badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menyokong aspirasi kerajaan untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik sekali gus dapat menyumbang kepada hasil kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sesuai objektif mewujudkan Badan Berkanun dan GLC negeri, beliau mahu mereka memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri.

Katanya ini penting bagi melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi bagi membantu mencapai objektif untuk mensejahterakan rakyat negeri ini.

“Seiring dengan usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, saya mahu Badan Berkanun dan GLC Negeri mencetus kreativiti dan daya cipta dalam meneroka peluang-peluang perniagaan.

“Sama ada menceburi perniagaan baharu atau mewujudkan jalinan kerjasama sesama agensi kerajaan negeri lain, selagi ia tidak bercanggah dengan objektif penubuhan.

“Setia agensi perlu bijak dan berhemah dalam perbelanjaan dan mengutamakan pulangan yang perlu dicapai agar dapat memelihara kebajikan syarikat, mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada sosioekonomi negeri”, katanya.

Hajiji berkata, beliau mahu semua Badan Berkanun dan GLC Negeri pelantikan ALP, kenaikan elaun, kemudahan-kemudahan, dan permohonan pemberian (grant) perlu mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.

“Kita tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada peraturan yang ditetapkan sama ada melalui Akta Syarikat, enakmen atau pekeliling kewangan semasa.

“Aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau percaya melalui penerapan prinsip tadbir urus baik, akan membantu ALP menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

“Ini sekali gus memandu organisasi melaksanakan mandatnya dan mencapai sasaran ditetapkan, supaya pelaburan kerajaan mendapat pulangan sewajarnya.

“Saya ingin tegaskan di sini, jawatan ALP bukanlah satu keistimewaan, tetapi merupakan satu amanah untuk menahkoda sesebuah agensi ke arah pencapaian hala tuju,” kata Hajiji.

Menurutnya, selain memberikan nilai tambah kepada organisasi dan menjaga kepentingan serta harapan stakeholder, ALP perlu mengutamakan peraturan, tadbir urus korporat dan menjunjung tinggi integriti.

“Kita menggesa semua ALP dan pengurusan GLC supaya melipatgandakan usaha, beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus baik dalam syarikat.

“Kerjasama dan kesefahaman di antara ALP Pengurusan Tertinggi sangat penting dalam merancang strategi terbaik sebagai sebuah agensi,” tambah Hajiji.