KOTA KINABALU : Pesara kerajaan negeri Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 dan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan perkara ini beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan berkenaan selepas mendengar pemintaan daripada pesara selain jasa khidmat bakti mereka selama ini.
Katanya, pembentangan belanjawan lalu, hanya penjawat awam mendapat bonus.
“Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini.
“Kita mengiktiraf sumbangan golongan pesara kerajaan yang banyak menyumbang jasa kepada sektor perkhidmatan di negeri ini,” katanya.
Hajiji ketika berucap di majlis tersebut beliau mahu KOPEKS terus merancang beberapa perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini.
“Jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi.
“Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS pada tahun 2023 menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026, yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan baharu,” jelas Hajiji.
Menurutnya, ini termasuk usaha KOPEKS membangunkan dua bidang tanah sedia ada masing-masing di kawasan Manggatal serta Lahad Datu untuk perumahan mampu boleh dibeli kalangan ahli dan orang ramai.
“Usaha ini amat baik dan saya yakin dengan bermulanya projek itu nanti, sudah pasti KOPEKS juga turut seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Negeri Sabah iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Kepimpinan KOPEKS hari ini mampu memenuhi keperluan ahli dan memperkukuh reputasi koperasi,” kata Hajiji.
Mwnurutnya, pengurusan cekap, komited serta berintegriti dalam setiap aspek akan meningkatkan kestabilan kewangan dan memberi manfaat berterusan kepada ahli dan komuniti.
“KOPEKS kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam.
“Koperasi ini pernah mencapai sehingga 20,000 ahli dalam era akhir 70-an dan 80-an.
“Saya masih ingat pada ketika itu, KOPEKS turut menyediakan kemudahan pembiayaan kredit dan berbagai kemudahan lain kepada ahlinya. Ini merupakan sejarah besar KOPEKS,” tambah Hajiji.
Beliau berkata, meskipun bilangan ahli aktif ketika ini seramai 5,898 orang,beliau percaya ini akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS.
“Jika ahli bersatu dan memberi sokongan kepada pengurusan serta kepimpinan koperasi, saya yakin KOPEKS akan mengekalkan kejayaan dan kecemerlangannya.
“Saya melahirkan rasa gembira kerana hampir 90 peratus ahli menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh KOPEKS, khususnya bagi tujuan menampung pengajian anak ahli melanjutkan pelajaran, menampung kos perubatan dan membaikpulih rumah khusus bagi ahli yang akan bersara,” ujar Hajiji.