Pelatih Giat Mara pilihan majikan dalam sektor industri di Sabah – Awang Aslee

BEAUFORT :  Penubuhan Pusat Giat Mara menepati ruang pasaran sektor industri pekerjaan serta membolehkan pelatihnya melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di masa depan.

Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat Giat Mara Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, berbekalkan kepada sijil kemahiran serta Sijil Kemahiran Malaysia pelatih akan mudah memperoleh peluang pekerjaan sekali gus mengelak tercicir dalam bidang pelajaran.

Awang Aslee bersama pelatih Giat Mara Beaufort.

Katanya, pusat giat Mara sentiasa memperkemas serta meningkatkan sukatan sistem pembelajaran agar pelatih lebih terdedah kepada alam pekerjaan yang sebenar.

“Sukatan pembelajaran yang terkini sangat menepati keperluan sektor industri menyebabkan pelatih ini sentiasa menjadi pilihan majikan selepas mereka menamatkan latihan kelak.

“Keistimewaan Giat Mara ialah pelatih ini terdedah kepada dalam alam pekerjaan serta keperluan tenaga teknikal menyebabkan mereka sentiasa menjadi antara pilihan utama majikan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Ramah Mersa dan Penutup Minggu Sual Kenal di Giat Mara Beaufort di sini, hari ini.

Awang Aslee yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Beaufort berkata, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (Life Long Learning – 3L) diperkenalkan Giat Mara juga memberi laluan kepada belia untuk menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknikal.

“Konsep ini sudah tentu menjadi satu Trade Mark bagi menarik lebih ramai pelatih baharu meneruskan pengajian di seluruh Giat Mara di seluruh Sabah.

“Kita ingin melihat agar pelatih Giat Mara khususnya di Beaufort ini menjadi salah seorang yang berjaya menguruskan perniagaan sendiri selain menjadi tenaga pengajar di masa depan,” jelas Awang Aslee.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Giat Mara Negeri Sabah, Samsul Yang dan Pengurus Giat Mara Beaufort.