Pelajar disaran tumpu kepada bidang kemahiran selain akademik

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan golongan pelajar agar mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain dan tidak hanya bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Katanya, selain pencapaian cemerlang dalam bidang akademik pelajar juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang-bidang kemahiran yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa.

“Selain tumpuan kepada bidang akademik, jangan ketepikan bidang teknik dan vokasional ini kerana bidang ini dapat menjadikan golongan pelajar sebagai modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran alaf baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan program Ceria Ke Sekolah anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Peabat Pendidikan Daerah Kinabatangan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kelahiran golongan modal insan seperti ini menuntut kepada peningkatan bilangan pelajar dalam bidang teknik dan vokasional yang dianggap sebagai satu pilihan baharu kepada aliran pembelajaran yang sedia ada.

“Jika kita (pelajar) kurang cemerlang dalam bidang akademik jangan mudah berputus asa kerana bidang kemahiran merupakan pilihan terbaik yang boleh mencorak masa depan untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RM12) Kerajaan terus memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion.

Menurut beliau, sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) iaitu peningkatan RM100 juta.

“Golongan pelajar perlu memanfaat peluang ini dengan melihat bidang kemahiran sebagai satu landasan terbaik untuk mereka mencorak masa depan mereka untuk berjaya,“ katanya.