PBS Terus Perjuangkan MA63 Yang Belum Ditunaikan -Joachim

PITAS: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum dikembalikan, ditunaikan dan dilaksanakan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, MA63/20 Perkara merupakan platform perjuangan utama PBS sejak 1985 sehingga kini sekali gus merupakan parti politik pertama memperjuangkan perkara ini.

Katanya, perjuangan MA63 termaktub dalam Perlembagaan PBS di Artikel 5 adalah Tujuan dan Objektif IV serta Melindungi Hak-Hak dan Kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“PBS adalah parti pertama yang menyatakan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa kita menuntut perjanjian dalam MA63. Walaupun kita tidak melaung-laungkannya, tetapi kita akan terus menuntut perkara ini daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan kini mula mengambil tindakan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan MA63 menerusi majlis tindakan dan jawatankuasa tertentu di mana saya adalah salah seorang ahlinya,” katanya.

Joachim merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, beliau kini  adalah ahli tetap Jawatankuasa Kerja Mesyuarat MA63.

“PBS ditubuhkan bagi tujuan untuk melindungi dan mengetengahkan hak-hak kita sebagai rakyat Sabah dan ini yang kita teruskan sehingga kini.

“PBS juga akan terus menjadi wadah perjuangan kepada semua bangsa, etnik dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau juga meminta semua ahli agar terus memberikan sepenuh fokus kepada misi dan visi perjuangan parti.

Ini termasuk usaha untuk menarik lebih ramai golongan belia dan juga profesional untuk menyertai dan memperkuatkan lagi parti.

“Dalam usaha kita untuk memperkuatkan lagi parti ini, kita harus elakkan sebarang persengketaan yang boleh membawa kepada perpecahan yang akhirnya hanya akan merugikan kita semua dan juga parti,” katanya.