PBS, STAR mula perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR Datuk Edward Linggu dalam kenyataan bersama hari ini berkata, perbincangan rasmi adalah berdasarkan kepada asas-asas.

” Untuk menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha di atas sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

“Untuk memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Mereka berkata, kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti pada Rabu lepas

“Kedua-dua parti telah memberi amanah kepada lima pemimpin untuk mewakili parti masing-masing dalam perbincangan itu,” kata mereka.

PBS akan diwakili oleh Julita, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda Christoper Mandut.

Manakala STAR diwakili oleh Naib Presiden/Pengarah Strategik. Dr. Paul Porodong, Edward, Ketua Penerangan Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Flovia Ng, dan Ketua Pergerakan Pemuda Kong Soon Choi.

Menurut mereka, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.