KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak mungkin bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata ini penjelasan sebagai menjawab dakwaan kononnya kedua-dua parti komponen GRS itu bakal bertanding solo pada pilihan raya akan datang.
Katanya, kedua-dua parti itu tetap bekerjasama sebagai sebuah gabungan dalam GRS untuk menghadapi PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
“Dakwaan kononnya PBS dan STAR bakal bertanding sendiri pada PRN17 adalah usaha terdesak pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi memecahbelahkan GRS berikutan peningkatan sokongan terhadap parti tempatan untuk terus mengetuai kerajaan.
“PBS dan STAR kekal komited terhadap gabungan tempatan GRS, bekerja bersama sebagai sebuah kesatuan hadapan dalam pertarungan pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Joniston merupakan Ketua Penerangan GRS, berkata ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting tajuk berita seperti dipaparkan dalam video berkenaan atas usaha terdesak untuk membuat naratif palsu.
“Kita menyifatkan dakwaan itu sebagai langkah strategik parti lawan dengan motif tersembunyi bagi menimbulkan perselisihan dalam kalangan parti komponen GRS.
“Secara terbuka, pihak tertentu sejak akhir-akhir ini kian melampaui batas untuk menyebarkan perkara tidak benar, dakwaan tidak berasas, dan dakwaan terhadap GRS serta kerajaan pimpinan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus,” jelas Joniston.
Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti komponen GRS yang menjadi bukti hubungan mesra di antara mereka.
“Ini sudah menjadi perkara biasa apabila parti menyuarakan minat mereka untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi yang pada akhirnya adalah perkara yang perlu dibincang dan diputuskan apabila tiba masanya.
“Perlu juga diambil perhatian bahawa memastikan kemenangan besar GRS adalah objektif utama memorandum persefahaman yang dimeterai PBS dan STAR sebelum ini,” kata Joniston.
Beliau menjelaskan tumpuan mereka adalah untuk penyampaian tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah sekali gus tidak akan terganggu dengan dakwaan seperti ini.
Sehubungan itu, Joniston meminta penyokong GRS dan orang ramai agar tidak mengendahkan maklumat yang salah, sebaliknya terus menyokong GRS yang berusaha menegakkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah.