KOTA KINABALU : Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, rakyat perlu terlibat bersama-sama mengibarkan ‘Jalir Gemilang’ di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini meliputi di kawasan kediaman, bangunan pejabat serta premis perniagaan termasuk di kenderaan masing-masing sepanjang sambutan itu.
Katanya, ini adalah merupakan sebagai satu tanda penghargaan serta kesyukuran yang dinikmati rakyat hasil kemerdekaan di negara ini.
“Kita pasti dengan adanya semangat serta komitmen tinggi untuk bersama-sama menjayakan sambutan ini rasa kecintaan kepada negeri dan negara akan tercapai.
“Saya yakin Jalur Gemilang serta bendera negeri Sabah akan sentiasa berkibar megah sebagai bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan dan mengisi nikmat kemerdekaan”, katanya di sini semalam.
Sementara itu dalam perkembangan sama Hajiji berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Sabah meraikan bersama Hari Sabah selepas Kerajaan Negeri mewartakan memperingati hari bersejarah pada Jun lalu.
“Kita berharap tiada lagi kekeliruan khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah kerana bagi negeri ini.
“Hari Sabah akan diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, Hari Sabah juga memperingati hari menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963.
“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan sahaja sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah.
“Namun, yang lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta,” kata Hajiji.