Kerjasama SESB, UPPM tingkat keupayaan tenaga elektrik di Sabah – Madius

KOTA KINABALU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengenalpasti kerjasama bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) penting sebagai penyampai maklumat mengenai pembangunan negeri kepada masyarakat.

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, peranan UPPM mampu berkongsi maklumat terkini kepada masyarakat berkaitan perkhidmatan serta usaha untuk meningkatkan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, SESB sedar peredaran landskap ekonomi Sabah menuntut perkhidmatan bekalan elektrik yang mampan serta berpatutan untuk dinikmati pengguna.

“Pendekatan yang dilakukan adalah memastikan kapasiti penjanaan serta talian penghantaran yang kukuh serta keboleh harapan retikulasi Pembahagian.

“Pelan Kelestarian SESB dibangunkan 2018 memberikan fokus kepada tiga strategik utama dalam usaha untuk menangani cabaran dan kekangan ke arah memberikan perkhidmatan bekalan elektrik yang mampan dan berdayaharap menjelang 2030,” katanya di sini semalam.

Madius berkata, perancangan pembangunan melalui pelan ini memberikan keutamaan kepada meningkatkan prestasi Teknikal dan Kewangan syarikat.

“Antaranya Safety Excellence, Maintenance Excellence, Innovative and Risk Smart atau Kecemerlangan Keselamatan, Kecemerlangan Penyelenggaraan, Inovatif dan Risiko Pintar.

“SESB memberikan tumpuan kepada usahamentransformasikan ke arah yang lebih baik bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat,” jelas Madius.

Menurutnya, konsep kemampanan ini bukanlah sesuatu yang baharu malah agenda kemampanan telah lama menjadi sebahagian fokus SESB dalam memastikan infrastrukur untuk rakyat tidak menjejaskan alam sekitar secara keseluruhannya.