PBS minta semua bahagian teliti daftar pemilih – Joniston

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan kemunculan pengundi tidak sah.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata,  meskipun terdapat wujud pendaftaran pemilih secara automatik namun perkara perlu terbukti kebenarannya.

Katanya, PBS mencadangkan agar semua bahagian parti mengambil inisiatif meneliti daftar pemilih secara menyeluruh bagi memastikan identiti pengundi baharu.

“Semua bahagian parti perlu pergi lebih jauh untuk meneliti secara proaktif daftar pemilih untuk nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.

“Kumpul dan laporkan penemuan ini kepada ibu pejabat parti supaya kita mempunyai asas untuk meneruskan tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Joniston berkata, peningkatan mengejutkan lebih daripada setengah juta pengundi baharu sejak pilihan raya negeri lalu memerlukan semakan menyeluruh terhadap daftar pemilih.

Beliau berkata, PBS akan melihat cara dari segi undang-undang untuk mendapatkan data yang berkaitan bagi meneliti pertumbuhan ketara negeri dalam pemilih berdaftar.

Joniston berkata, PBS juga telah berulang kali membuat permohonan untuk pertemuan dengan SPR bagi mendapatkan jaminan bahawa rekod pilihan raya Sabah.

“Kita pastikan semuanya adalah bersih dan tidak mempunyai pengundi yang boleh dipersoalkan jika ia meneruskan pendaftaran automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun di Sabah. Permintaan itu bagaimanapun tidak dilayan sehingga hari ini,” katanya.