PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) memiliki ahli yang mempunyai cekal hati, tahan lasak, berwawasan serta berintegriti sekali gus lebih matang dalam mengharungi liku-liku perjuangannya.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pengalaman lalu sangat mendewasakan parti tersebut.
Katanya, dalam menyingkap perjuangannya PBS sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran, sejak dari awal penubuhan parti ini pada tahun 1985.
“Ujian demi ujian, and along the way, beberapa pemimpin dan ahli kita tersasar dari landasan perjuangan PBS. Namun, saya berbangga dengan anda semua kerana walaupun berdepan dengan cabaran, anda masih percaya dengan asas perjuangan parti keramat kita ini.
“Di saat suka dan duka kita bersama, kita menangis dan ketawa bersama. Bak kata pepatah, kita bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
“Tapi walaupun dalam keadaan senang, kita tidak boleh leka. Ujian dahulu seharusnya mengajar kita untuk lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang bakal mendatang. Yang baik kita jadikan teladan, yang jahat jadikan sempadan,” katanya di sini hari ini.
Teks dibacakan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Maximus berkata, kepada mereka yang masih bersama sehingga kini, anda merupakan tunjang kekuatan PBS sekali gus menjadi saksi betapa hebatnya parti ini kekal relevan hingga ke hari ini.