Dakwaan 1,500 keluar WARISAN di Tawau bersikap propaganda politik – Mohd Ismail

KOTA KINABALU: Dakwaan 1,500 pemimpin serta ahli Parti Warisan (WARISAN) Tawau melibatkan 30 cawangan mengumumkan keluar parti dengan menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah bersikap propaganda politik.

Ketua Wira Parti Warisan (WARISAN), Mohd Ismail Ayob berkata, ini merupakan alasan cara lama digunakan berulang kali bagi menunjukkan mereka bertindak keluar parti hanya ingin memperlihatkan pengaruh kepada diri-sendiri.

Katanya, tindakan mereka ini hanya dilihat untuk menipu pemimpin kerajaan di kawasan mereka untuk mendapatkan habuan jawatan serta wang ringgit semata-mata.

“Saya ingin menegur sahabat lama yang keluar….Kalau kamu keluar itu hak kamu….Tetapi  jangan sesekali menghancurkan parti yang pernah menaikkan nama kamu dengan hanya kerana kamu tidak tahan menjadi pembangkang.

“Jangan jadikan WARISAN sebagai batu loncatan…Adakah kamu akan keluar parti sekiranya Warisan masih lagi memerintah. Oleh itu, bagi saya golongan seperti ini memang tidak boleh dipercayai lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas tindakan belas Timbalan Ketua Wira Pusat merupakan Ketua Wira Tawau, Ismail Sabran mendakwa tindakan seramai 1,500 pemimpin serta ahli Parti Warisan (WARISAN) Tawau itu adalah atas kerelaan hati serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan disokong oleh semua parti politik tempatan supaya pembangunan negeri mampu dicapai.

Mohd Ismail berkata, beliau yakin pemimpin kerajaan sudah bijak menilai tindakan mereka ini dengan hanya ingin mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Niat perjuangan asal mereka sudah tersasar…Perjuangan mereka lebih kepada  mendapatkan habuan selepas terbukti mereka tidak tahan ketika menjadi pembangkang semasa berada dalam WARISAN,” katanya.