Berdiri 50 orang, umum 1,500 ahli WARISAN keluar sokong GAGASAN Rakyat – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan hanya terdapat ‘50’ orang berdiri di belakang bersama Bekas Timbalan Ketua Wira Pusat, Ismail Sabran semasa membuat pengumuman sidang media keluar parti menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, mereka mendakwa kononnya terdapat 1,500 ahli meninggalkan parti namun gagal dibuktikan sehingga kini.

Katanya, beliau ingin bertanya kepada Ismail Sabran mengapa menggunakan kepada angka yang tepat iaitu 1,500 dan kenapa bukannya 1,523 atau 1,501.

“Seolah-olah Ismail Sabran memilih angka yang senang di tulis, dingat atau dikira….Peliknya yang berdiri di belakang semasa sidang media tidak sampai pun 50 orang?

“Jawapannya mudah, kerana bagi memastikan mereka relevan didalam parti yang baru, dalam masa sama mereka kena meyakinkan boss baharu mereka bahawa mereka mempunyai ramai penyokong,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Azis berkata, jawapan kepada persoalan itu ialah beberapa orang yang hanya masuk politik untuk cari makan sekali gus mereka yang kekal setia adalah faham kepada agenda perjuangan WARISAN.

“Banyak kenyataan media dikeluarkan bekas Wakil Rakyat, termasuk pemimpin bahagian dan pusat keluar dengan disokong oleh ribuan ahli yang keluar kononnya mengikuti perjuangan mereka.

“Saya tidak bercadang untuk mencantas usaha kawan-kawan keluar untuk mencari makan dan tempat diparti baharu. Dengan umumkan jumlah beribu-ribu keluar boss mereka yakin serta percaya kononnya mereka punya pengikut yang ramai,” katanya.

Sebagai ahli dalam parti WARISAN beliau tidak menafikan memang wujud ahli yang keluar namun tidaklah sebagaimana yang di gambarkan dalam sidang media  malam tadi.

“Hakikatnya kekuatan WARISAN terletak pada sokongan ahli akar umbi, rakyat biasa yang melihat perjuangan ini bukan kerana pangkat serta Wang ringgit. Tetapi Berdiri pada prinsip dan bukannya lalang.

“Hari ini kita mendirikan kerajaan perpaduan di peringkat Pusat namun suara menuntut hak Sabah tetap kita suarakan baik di luar ataupun di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Umum mengetahui Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN Rakyat) yang baru dilancarkan hanya menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda agar mengetuai kerajaan perpaduan.

“Percaya atau tidak, jika berlaku pergolakan sekali lagi di peringkat Pusat, yakinlah GAGASAN Rakyat atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadi parti pertama meninggalkan Anwar Ibrahim sebagaimana mereka tinggalkan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.