KOTA KINABALU: Sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program yang akan dilaksanakan meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.
Katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.
“Sejak memimpin kerajaan negeri September 2020, pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan kepada golongan belia di negeri ini.
“Ini meliputi bidang pendidikan, kerajaan melaksanakan beberapa program termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang menyasarkan para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Insiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA),” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan turut mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai lagi anak-anak Sabah berpeluang ke IPT di dalam dan di luar negara.
Kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) untuk memayungi persatuan mahasiswa di semua IPT seluruh negara sekali gus bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, idea serta cadangan untuk pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.
Katanya, komitmen Kerajaan Negeri tidak hanya dalam aspek pendidikan, malah juga bidang keusahawanan dengan beberapa skim keusahawanan diperkenalkan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang membantu belia yang berkecimpung dalam perniagaan kembali bangkit setelah terjejas akibat penularan Covid-19.
“Program ini akan diteruskan dan saya menyarankan Majlis Belia Sabah (MBS) dapat menjadi penggerak penting kepada pelaksanaan SYABAS pada tahun ini,” tegasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan Felo SMJ yang bermula pada tahun lalu, akan diteruskan pada tahun ini dibawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS) dengan Presiden MBS yang akan menyelaras program itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).
“Ini termasuk beberapa penganjuran program baharu seperti Dewan Belia Sabah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda di negeri ini kerana pandangan dan pendapat mereka diperlukan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).