KOTA KINABALU: Sebagai rakan utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu terus bekerja keras bersama dengan parti komponen lain bagi mengukuhkan lagi pakatan tempatan itu sebagai pilihan utama rakyat Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata PBS telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan GRS sejak ditubuhkan.
“Kita hargai peranan PBS bagi mengukuhkan GRS, ” kata Hajiji yang juga Pengerusi GRS Sabah pada perjumpaan bersama kepemimpinan tertinggi PBS di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Rombongan PBS diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri selain Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.
Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pada perjumpaan itu, PBS selaku salah satu komponen utama GRS, menyatakan ikrar untuk bekerja rapat dengan parti komponen lain bagi mengukuhkan gabungan berkenaan.
Hadir sama ialah dua lagi Timbalan Presiden PBS Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai, Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki, Bendahari Agung PBS, Datuk Lu Kim Yen, Naib Presiden PBS Datuk Ruslan Muharam dan Hendrus Anding, Timbalan Setiausaha Agung PBS Jonnybone Kurum dan Timbalan Bendahari Agung Lo Su Fui.
GRS yang didaftar secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada Mac 2022 kini dianggotai tujuh parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), PBS, Sabah STAR, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah.