SELANGOR: Biarpun pun mencabar namun pilihan raya negeri (PRN) di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu tidak mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun bukan semua negeri namun ia bukan perkara mustahil untuk memenangi PRN.
“Keinginan untuk sesuatu yang baharu boleh dilihat di kedua-dua negeri berkenaan tetapi jalan untuk merealisasikan itu masih panjang dan tugas yang berat.
“Yang penting kali ini kita mempunyai pembangkang yang kuat dan peluang untuk bekerjasama dengan BN adalah satu peluang.
“Namun jangka masa panjang perlu ada perancangan termasuk membina semula parti Keadilan dan Pakatan Harapan (PH) di sana,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, kedua-dua negeri itu akan diberikan keutamaan kepada BN khususnya UMNO kerana mempunyai lebih kekuatan.
“Tetapi saya juga tahu di kebanyakan tempat yang mana Keadilan dan Amanah juga ada kekuatan tersendiri.
“Maka jika boleh menggambarkan Kerajaan Perpaduan, kita mempunyai PH dan BN untuk menang di kedua-dua negeri tersebut,” ujarnya.