PAU tentukan jawatan Presiden dan timbalan dipertandingkan atau sebaliknya – Zahid

KUALA LUMPUR: Perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno boleh ditandingi atau tidak.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan kepada sidang perwakilan membuat usul sekali gus akan menentukan kedua-dua jawatan tersebut.

Katanya, beliau juga menyerahkan kepada perwakilan parti untuk menentukan apakah bentuk sistem demokrasi yang mahu diterjemahkan.

“Sebelum itu, kita harus bawa ke biro politik, bawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas itu usul MKT itu harus dibawa ke perhimpunan agung, biar perwakilan yang menentukan dalam perhimpunan agung itu,” katanya di sini hari ini.

Zahid berkata, dia memihak kepada dua jawatan teratas itu dipertandingkan dengan merujuk pelantikannya sebagai presiden pada 2018, walaupun pada mesyuarat agung Umno 2017 telah memutuskan semua jawatan boleh dipertandingkan.

“Tapi harus barang diingat, ada beberapa kali, jawatan presiden tidak ditandingi. Jawatan presiden dan jawatan timbalan presiden tidak ditandingi,” katanya.