Pakej PEMULIH komprehensif, beri manfaat kepada Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bersifat menyeluruh yang turut memberi manfaat kepada rakyat Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan tahniah kepada perdana menteri. Pakej rangsangan ini pasti memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi di Sabah.

“Peruntukan merangkumi suntikan fiskal RM10 bilion adalah besar dan inilah yang diperlukan negara sekarang bagi mengatasi impak penutupan kali ketiga seluruh negara akibat COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji turut mengalu-alukan pengumuman perdana menteri berhubung perkhidmatan perbankan mudah alih Bank Simpanan Nasional (BSN) yang akan dilaksanakan di Sabah mulai Julai ini bagi menyediakan akses lebih mudah terutama kepada penduduk luar bandar di negeri itu.

Kerajaan juga akan menawarkan dana RM18 juta kepada bank tempatan untuk menyediakan kira-kira 30 unit bank bergerak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak meliputi 250 kawasan luar bandar.

Hajiji berkata PEMULIH menyediakan bantuan kewangan lebih baik kepada pelbagai sektor termasuk golongan petani, kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana, seni kreatif, orang kurang upaya dan pelancongan.

Sabah juga menyambut baik peruntukan RM400 juta untuk meningkatkan bekalan vaksin negara dan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, katanya.

Hajiji berkata pemberian moratorium pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat kepada semua peminjam individu dan pengusaha mikro membuktikan keprihatinan kerajaan kepada keperluan semua rakyatnya.

“Langkah memperbanyak Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial terutama kepada graduan baru, lepasan sekolah dan pekerja tidak formal yang mendaftar di bawah platform MyFuture Jobs, bakal menerima sekurang-kurangnya RM300 adalah sangat bermakna,” katanya.

— BERNAMA