BEAUFORT: Lelaki yang dipercayai mampu menghasilkan senjata api buatan sendiri ditahan di rumah di Kampung Pansong di sini, semalam.
Dalam operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort pada 2.30 petang itu, lelaki berusia 57 tahun terbabit ditahan bersama selaras bakakuk dan beberapa lagi peralatan serta kelengkapan membuat senjata api buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, rampasan itu dibuat selepas suspek mengaku ada menyimpan senjata api dan peralatan membuat senjata api di rumahnya.
Menurut laporan Harian Metro, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
“Polis akan memohon reman terhadap suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960,” katanya.