Orang ramai salur maklumat kejadian kemalangan maut di Jalan Silam Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan maut membabtikan seorang lelaki apabila kenderaannya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Silam, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa berumur 28 tahun maut di lokasi kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi tadi.

Rohan Shah Ahmad

Katanya, ketika kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu di pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa juga dipercayai memasuki laluan bertentangan menyebabkan bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 38 tahun. Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di dalam kenderaannya sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Rohan Shah berkata, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemanduan mangsa yang hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.

“Kedua-dua pemandu disahkan tidak dipengaruhi alkohol, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.