Op Selamat 18 bermula 29 April hingga 8 Mei

KOTA BELUD: Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Belud akan membuat op Selamat di kawasan-kawasan ‘Hot Spot’ melibatkan seringkali berlaku kemalangan dan kesesakan lalulintas.

Ketuanya, Supt Shahrudin Mat Husain, berkata Op Selamat ini bertujuan melancarkan aliran lalulintas serta memudahkan pergerakan kenderaan balik kampung sekali gus menjalankan urusan di sekitar pekan untuk membeli barangan.

Katanya, selain itu Op ini sebagai ruang bagi menyampaikan info tentang pentingnya keselamatan jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika dimusim perayaan.

“Ini bagi membolehkan pihak berkuasa dapat mengekang kenderaan yang membawa barangan larangan mengambil peluang disepanjang musim cuti Hari Raya Aidilfitri ini.

“Keselamatan rumah yang ditinggalkan semasa bercuti juga perlu di ambil kira. Op Selamat ini akan diketuai Pegawai Kanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Belud,” katanya.

Shahrudin menasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan tidak terburu-buru ketika berada di jalan raya.

“Faktor terburu-buru sudah tentu akan mengundang masalah. Mengamalkan sikap bertolak ansur dengan mematuhi peraturan jalan raya adalah menjadi keutamaan didalam musim perayaan,” katanya.