OP Bantu wujudkan kerjasama baik banteras jenayah

LAHAD DATU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menyalurkan bantuan bakulan makanan dalam ‘Op bantu’ kepada Ladang Sabahmas Tiga selepas kawasan itu diistiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ini kerana seramai enam orang pekerjanya telah disahkan positif COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, tempoh dikenakan PKPD bermula bermula 10 Julai sehingga 23 Julai 2021 sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak agar sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

Rohan Shah mengadakan perbincangan dengan pemilik ladang.

“Op Bantu yang diperkenalkan ini bertujuan bagi menyampaikan sedikit bantuan serta membina hubungan kerjasama dua hala di antara IPD Lahad Datu dengan pihak pengurusan ladang.

“Selain itu, lawatan ini juga membolehkan pihak pengurusan ladang bersama-sama membantu pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah khususnya yang berlaku di kawasan ladang milik mereka,” katanya.

Rohan Shah berkata, dalam lawatan ini pihak pengurusan ladang memberikan kerjasama baik disamping memberikan nasihat kepada mereka agar menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sebarang kegiatan jenayah.

“Ini merupakan pendekatan dua hala antara Polis bersama Pihak Pengurusan Ladang. Kita akan perluaskan lagi ‘Op Bantu’ ini ke beberapa yang ladang sekitar kawsan Lahad Datu yang dipercayai wujud statistik kegiatan jenayah di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Ladang Sabahmas Foo Koh Fei menzahirkan penghargaan terima kasih kepada pihak IPD Lahad Datu berikutan mengadakan lawatan sambil menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan COVID-19.

“Ladang Sabahmas terbahagi kepada tiga kawasan ladang melibatkan Sabahmas 1, Sabahmas 2 dan Sabahmas 3 dengan keseluruhan tenaga  buruh seramai 1,356 orang,” katanya.

Setakat ini katanya, kawasan PKPD Sabahmas 3, pihak KKM telah menjalankan saringan awal terhadap 347 orang pekerja yang tinggal di kawasan tersebut.