Nor Asiah ulangi dedikasi teguh konstitusi jaga hak perlembagaan Sabah

KOTA KINABALU: Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof mengulangi dedikasi teguh konstitusi untuk menjaga hak perlembagaan Sabah khususnya berkaitan pemberian khas 40 peratus Hasil Bersih seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Peguam Besar Negeri telah mengambil bahagian secara aktif dalam semua perbincangan berkaitan perkara ini bersama-sama dengan Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Pendirian kami adalah selaras sepenuhnya dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini yang mengesahkan keazaman Negeri untuk menegakkan hak perlembagaannya dan akan berterusan dalam memperjuangkan semua hak Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Nor Asiah berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri telah memainkan peranan penting dalam rundingan ini, memastikan bahawa tuntutan undang-undang dan perlembagaan Sabah diwakili dengan berkesan.

“Usaha konsisten kami tertumpu pada memastikan Kerajaan Persekutuan mematuhi formula perkongsian hasil yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk mendapatkan pampasan untuk “tahun-tahun yang hilang” dari 1974 hingga sekarang apabila tiada semakan geran khas itu berlaku.

“Mengenai prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Persatuan Undang-undang Sabah, kami menghormati hak mereka untuk mendapatkan semakan kehakiman mengenai perkara ini kerana litigasi kepentingan awam adalah penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan yang adii,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan sebarang kenyataan yang menyimpang daripada kedudukan jelas dan rasmi Negeri.

“Tanpa mengira keputusan di Mahkamah Rayuan, Sabah mengekalkan tuntutan rasminya supaya Kerajaan Persekutuan memenuhi obligasi undang-undang dan perlembagaan berhubung pemberian khas itu.

“Hak kewangan ini, berakar umbi dalam rundingan pra-pembentukan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah hak Sabah yang tidak boleh dirunding,” katanya.

Nor Asiah menegaskan Jabatan Peguam Besar Negeri memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa akan meneruskan usaha yang tidak berbelah bahagi untuk semua hak yang ditanggung oleh Negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.