Najib gagal lagi untuk kemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC

PUTRAJAYA, 16 Mac  (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak gagal buat kali kedua untuk  mengemukakan bukti baharu dalam rayuan ke atas hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ini adalah selepas, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu selepas mendengar hujahan ketua peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc  Datuk V. Sithambaram.

Lain-lain hakim yang merupakan ahli panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya  Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak  Tan Sri  Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata permohonan untuk memasukkan bukti tambahan itu tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Kami berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. Kami mendapati permohonan ini tidak mematuhi keperluan undang-undang.  Tiada kesilapan untuk dirayu. Dalam keadaan ini, permohonan ini ditolak,” kata Tengku Maimun.

– BERNAMA