Naik Taraf Sook – Sempadan Daerah Sedang Diperhalusi – Ellron

KENINGAU : Sempadan daerah-daerah berdekatan seperti daerah Tongod, Nabawan, Keningau dan Tambunan dalam fasa perbincangan dan sedang diperhalusi.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan persetujuan daripada wakil-wakil rakyat yang  mewakili daerah-daerah terbabit mengenai persempadan itu.

Ellron bersama pelajar selepas majlis berbuka puasa di sini semalam.

“Saya difahamkan, kita hanya menunggu surat-surat mereka, pada dasarnya mereka sudah bersetuju dan menyokong daerah penuh Sook ini  agar dapat dipercepatkan pewartaannya.

“Persempadanan daerah ini penting untuk menentukan segala urusan, permohonan dan projek pembangunan yang  bakal dilaksanakan tidak bertindih antara satu daerah dengan daerah yang lain,” katannya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama-sama pemimpin masyarakat Daerah Kecil Sook, warga pendidik serta pelajar Pra-Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK);Sook dan Majlis Jasamu Dikenang Pancratius Primus di SMK Sook, kelmarin.

Antara mereka yang hadir di majlis berbuka puasa di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 15 pelajar yang kurang berkemampuan menerima bantuan keperluan asas bernilai RM150 setiap seorang.

Mengulas majlis itu, Ellron berkata, ia harus terus diraikan tanpa mengira perbezaan anutan agama sesuai dengan kepelbagaian kaum dan keturunan dalam masyarakat Sabah.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Encik Johari@ Jaibet Sabin, Pengetua Sekolah SMK Sook Pancratius Primus dan Yang Dipertua PIBG Amzan  Jahidin.