Mulai gerak kerja, kenal pasti pengundi menjelang PRN Sabah – Halizah

KOTA KINABALU : Jentera Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diseru untuk memulakan gerak kerja aktif dalam usaha untuk mengenalpasti pengundi di semua kawasan bagi memastikan tidak berlaku masalah keciciran data.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din berkata usaha itu adalah langkah penting yang harus dimulakan lebih awal dan diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan masalah semasa hari pengundian kelak.

“Sememangnya jentera kita sudah mula bekerja dan apa yang saya tekankan khasnya untuk sayap Wanita bahagian ini adalah peka terhadap kawasan sekeliling dan bergerak secara aktif untuk pastikan kenalan di kiri kanan kita, berdaftar sebagai pengundi dalam daftar pemilih dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Ini amat penting dan komitmen ahli jawatan kuasa dalam sayap adalah kekuatan yang akan bersama-sama menyumbang kepada gerak kerja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Mesyuarat Wanita Gagasan Rakyat Likas di sini, hari ini.

Menurut Halizah, jentera wanita Likas sentiasa terbuka untuk membantu kerja-kerja jentera bagi kawasan sekitar yang kelak akan bertanding semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Dalam pada itu, Halizah turut menyeru kepada semua jentera wanita Likas agar berusaha dalam menambah bilangan keahlian di peringkat cawangan.

“Penting untuk kita konsisten dalam usaha menambah bilangan ahli kerana ini adalah bukti kekuatan dan kepercayaan rakyat kepada Gagasan Rakyat.

“Untuk ini, bukan hanya sayap Wanita, bahkan sayap Pemuda dan Beliawanis juga sentiasa berusaha untuk menambah bilangan keahlian di semua cawangan, demi untuk menyumbang kepada pertambahan bilangan ahli parti secara keseluruhan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Halizah juga memberitahu bahawa jentera Wanita Likas akan terus menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri dalam membawa pembangunan kepada seluruh negeri Sabah dan rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kini terbukti menyampaikan apa yang dijanjikan, insyaAllah semua pasti dapat disusun atur dan direalisasikan.

“Lihat saja perubahan kita selepas kepimpinan Kerajaan Negeri bertukar, pelbagai insentif dan usaha kerajaan untuk membantu rakyat Sabah dari pelbagai golongan masyarakat dan lapisan usia, nyata.

“Untuk itu, wajar jika kita semua meletakkan keyakinan serta kepercayaan kita untuk parti dan ketua kita, Datuk Seri Hajiji Noor yang sememangnya merupakan figura pemimpin yg penuh sopan santun dan berhemah dalam setiap tutur langkahnya,” katanya lagi.

Halizah menyeru kepada semua masyarakat untuk tidak menilai dan membut persepsi negatif hanya kerana mudah terpedaya dengan kandungan dakyah pihak pembangkang di laman media sosial.

“Media sosial ada kebaikan namun ada keburukannya kerana ada pihak yang suka jadikan platform ini sebagai wadah mereka ‘membentuk’ acuan pemikiran rakyat supaya negatif kepada usaha Kerajaan Negeri masa ini.

“Oleh itu, sebagai rakyat, kita mesti berfikiran terbuka, matang dan menilai dengan bijak tentang sesuatu isu atau idea yang dibangkitkan dalam media sosial, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa perjuangan politik pentingkan diri pihak sana,” ujar Halizah lagi.