MUIS lapor polis, tuntut penyebar fitnah buat permohonan maaf secara terbuka – Yahya

KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membuat satu laporan polis membabitkan beberapa tuduhan yang tular kononnya terdapat salah guna kuasa di dalam pentadbirannya.

Yang Di-Pertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin berkata, satu Surat Tuntutan Peguam dikeluarkan kepada penyebar tuduhan tersebut antaranya menuntut suatu permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam kepada pihak pengurusan MUIS.

Katanya, sekiranya gagal saman akan difailkan secara serta merta terhadap penyebar tuduhan tersebut bagi memastikan imej MUIS bersih daripada tuduhan liar.

“Tuduhan tersebut membabitkan isu berkaitan pembayaran bonus kepada kakitangan MUIS didakwa menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan malah dakwaan kononnya Ketua Pegawai Eksekutif MUIS mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.

“Laporan polis tersebut dibuat bagi tujuan siasatan berkaitan tuduhan dilemparkan ke atas pihak MUIS adalah jelas tidak berasas sekali gus merupakan suatu fitnah terhadap pihak MUIS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahya berkata, MUIS sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan dari pihak berkuasa bagi memastikan imej serta integriti MUIS kekal bersih tanpa sebarang unsur salah guna kuasa.

“Ini termasuklah proses siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Untuk rekod, pembahagian wang zakat pada tahun lalu menunjukkan jumlah kutipan wang zakat iaitu sebanyak RM141,181,101.74 diagihkan kepada golongan asnaf membabitkan seramai 91,060.

Menurutnya, penerima tersebut membabitk fakir miskin 41.1 peratus, Fisabilillah 17.9 peratus dan al-Riqab 17.6 peratus.

“Selain itu golongan Miskin 11.1 peratus, Amil sembilan peratus, Muallaf 2.8 peratus, al-Gharimin 0.3 peratus dan Ibnu Sabil 0.2 peratus,” tambah Yahya.