KOTA KINABALU : Kerosakan kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan punca kepada gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan ke atas kerosakan yang melibatkan kabel bawah tanah itu memerlukan kepakaran dan kemahiran.
Katanya, gangguan bermula pada 1 April 2024 menjejaskan bekalan elektrik ke kawasan Jeti Lama Labuan, Masjid India, Bangunan Alliance Bank, Melati Inn Hotel, Terminal Ferry Roro, Terminal Ferry Labuan, Labuan Liberty Port, kawasan Jalan OKK Abdullah, Pejabat Pos Dataran, Mariner Hotel, Jalan Bunga Anggerik dan Jalan Bunga Dahlia.
“SESB Zon Labuan menerima makluman gangguan bekalan pada jam 4.22 petang manakala pemeriksaan segera dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB,” katanya dalam media hari ini.
Mohd Yusmanizam berkata, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dibuat secara berperingkat dilakukan secara serta merta.
“Bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan ke beberapa kawasan manakala masih terdapat beberapa kawasan lagi tidak dapat ditenagakan dan memerlukan kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu.
“Pada jam 7.02 malam, lokasi kerosakan kabel bawah tanah berjaya dikenal pasti dan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta merta,” jelas Mohd Yusmanizam.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta-merta sebaik sahaja lokasi kerosakan dikenalpasti, walaubagaimanapun pada jam 4.00 pagi kerja-kerja terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat yang melanda W.P Labuan.