31 C
Kota Kinabalu
Thursday, February 9, 2023

Muhyiddin perlu hormati keputusan institusi Raja-Raja Melayu – Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang disifatkan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu selepas dilihat bertindak mempertikaikan segala pelantikan yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu, kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan Raja-Raja Melayu.

Sebaliknya kata beliau, Muhyiddin perlu mencontohi DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini. Tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Muhyiddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.

“Belajarlah menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan terbentuk hari ini bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Kerajaan Perpaduan hasil gabungan kerjasama parti terbesar dan parti kecil lain yang memenangi pilihan raya, untuk membina dan mentadbir negara lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

“Muhyiddin lupa kuasa perlantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu pelantikan Kabinet. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mempersembahkan senarai semua ahli jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan baginda. Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, barulah diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="SabahNewsToday" twitter="@SabahNewstodayN" youtube="#" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333"]
Iklan

Latest Articles