Minta Rasuah: SPRM tahan dua suspek wanita di Tawau

TAWAU: Dua suspek bertugas di Mahkamah Syariah Tawau dipercayai meminta serta menerima wang rasuah RM400 daripada orang awam bagi memproses perintah mahkamah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita terbabit termasuk seorang penjawat awam yang berusia 50 dan 38 tahun itu telah ditahan di pejabat SPRM Negeri Sabah Cawangan Tawau ketika hadir memberi keterangan pada jam 5.30 petang, tadi.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, kedua-dua suspek akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.