KUCHING : Perincian mengenai pembangunan infrastruktur di sepanjang sempadan Malaysia melibatkan Sarawak dan Sabah dengan wilayah Kalimantan, Indonesia akan menjadi antara agenda mesyuarat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama agensi pelaksana kedua-dua negeri itu, Disember ini.
Beliau berkata, setakat ini beliau belum lagi mendapat perkembangan terbaharu berhubung projek itu dan mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan kemajuan pelaksanaannya.
“Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai status projek-projek yang sedang berjalan serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Mesyuarat ini juga memberi fokus kepada sebarang isu atau cabaran yang dihadapi, termasuk projek yang menghadapi masalah,” katanya.
Ogos lalu Fadillah dilaporkan berkata peruntukan RM1 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan di sempadan Sarawak dan Sabah dengan Indonesia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi terlibat.