KOTA MARUDU : Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) perlu mempercepatkan pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu didapati tertangguh sejak sekian lamanya.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Kota Marudu, Jimson Majemal berkata, puluhan ribuan rakyat Kota Marudu menaruh harapan tinggi projek itu siap mengikut jadual asal pada September lepas.
Katanya, rakyat khususnya golongan belia kecewa apabila mengetahui bahawa projek Kompleks Sukan Kota Marudu itu hanya berada pada tahap sekitar 50 peratus siap.
“Sebagai salah seorang penggiat sukan di daerah Kota Marudu, saya terpanggil berjuang bersama rakyat di sini untuk membuat rayuan berharap agar KBS dapat mempercepatkan pembinaan kemudahan ini.
“Kompleks Sukan Kota Marudu merupakan satu-satunya kemudahan sukan di Kota Marudu begitu sangat pembinaannya oleh penduduk tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jimson merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu
berkata, kemudahan Kompleks Sukan Kota Marudu itu juga dijangka dapat memenuhi keperluan sekolah terutama dalam Kejohanan Olahraga melibatkan sembilan sekolah menengah.
“Antaranya SMA Goshen, Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan (K9) Magandai dan 33 sekolah rendah dan lima buah sekolah swasta.
“Kita sangat kecewa apabila melihat projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk kini hanya terbengkalai,” jelas Jimson.
Menurutnya, adalah tidak indah dipandang mata melihat papan tanda projek tetapi projek tidak dilaksanakan.
“Kita yakin dengan peruntukan besar lebih RM6 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan di Sabah dan juga Bajet Sabah 2025 melebihi RM6 bilion.
“Pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu tidak menghadapi masalah untuk disiapkan secepat mungkin,” kata Jimson.