BEAUFORT: Semua pasangan ingin melangsungkan perkahwinan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan disaran agar memakai baju tradisi kaum masing-masing dalam majlis perkahwinan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muaharam berkata, cadangan ini boleh diguna pakai oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) terhad hanya digunakan di dalam DUN kawasannya.
“Sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan, sudah tentu proses pertunangan akan melibatkan Ketua Kampung dalam perundingan pertunangan. Jadi mereka boleh menetapkan syarat kepada kedua belah pihak agar akur serta bersetuju memakai pakaian tradisional program nanti.
“Pada masa inilah, MAN boleh memainkan peranan serta tanggungjawab di dalam perundingan majlis pertunangan dalam usaha untuk mengekalkan identiti setiap kaum di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Taklimat Peranan serta Tanggungjawab Kepimpinan MAN di sini semalam.
Ruslan berkata, memakai pakaian tradisional ini merupakan identiti unik mengikut suku kaum mereka sekali gus cadangan ini mampu memperkasakan lagi tradisi yang ditinggalkan oleh nenek moyang pada masa lalu.
“MAN perlu memahami peranan serta tanggungjawab mereka yang merangkumi aspek pentadbiran dan amalan undang undang adat anak negeri secara tidak langsung cadangan ini boleh digunakan di masa depan,” katanya.
Dalam tempoh sama beliau menekankan agar tiga perkara iaitu pemimpin kampung perlu menjaga tutur kata atau bahasa yang mereka gunakan sama ada urusan rasmi mahupun tidak.
“Kedua, saya mahu pemimpin juga menjaga keterampilan mereka bukan sahaja dari segi pakaian tetapi juga termasuk gaya bahasa tubuh badan.
“Ini kerana mereka ini adalah mewakili setiap penduduk kampung masing-masing, jadi sudah pasti mereka menjadi perhatian penduduk serta menjadi contoh kepada penduduk kampung,” katanya.