SANDAKAN : Mayat seorang lelaki ditemui terapung di permukaan laut di hujung Pulau Berhala di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu lebih kurang pukul 1.50 petang, semalam.
Katanya, mayat mangsa yang merupakan warganegara tempatan dalam lingkungan 66 tahun ditemui lebih kurang 1.2 kilometer dari jeti perkampungan Pulau Berhala.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan bedah siasat dijalankan pada hari ini.
“Setakat ini, tidak terkesan sebarang unsur jenayah dan khianat berlaku ke atas mangsa. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Baharudin Mohamad di talian 019-4008131 atau 089-221252.