Mayat Bayi Terapung Di Temukan Di Perkampungan Atas Air Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebuah perkampungan atas air di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

“Sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan. 

“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Bayi terbabit disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.