KOTA KINABALU : Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) menerima seekor anak Beruang Madu berusia tiga bulan yang diselamatkan dari menjadi binatang peliharaan di sebuah kampung di Tenom.
BSBCC yang berpengkalan di Sepilok Sandakan menamakan anak beruang madu betina dengan berat 4 kilogram ini sebagai ‘Tenom’ selepas menerimanya daripada Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah pada 10 Jun lepas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC Wong Siew Te, seorang individu membeli Tenom dengan harga RM500 di sebuah kampung di sempadan Beaufort – Sipitang pada 29 Mei lepas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi pada 2 Jun lepas.
“Kami gembira kerana Tenom tidak menjadi haiwan peliharaan seseorang di rumah dan tinggal dalam sangkar kecil. Pasukan kami akan terus melakukan yang terbaik untuk memberikan Tenom pengalaman terbaik beruang madu dan berharap suatu hari nanti dia dapat dikembalikan ke hutan.
“Namun begitu, sedih untuk tertanya-tanya di mana atau apa yang berlaku kepada ibu Tenom? Dalam dunia yang ideal, Tenom sepatutnya hidup bahagia bersama ibunya di hutan mempelajari keperluan beruang secara semula jadi.
“Ya, anak beruang comel tetapi mereka pastinya bukan haiwan peliharaan!! Di Sabah, adalah haram untuk memiliki beruang madu sebagai haiwan peliharaan. Sila laporkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah atau kepada kami jika anda melihat sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasmi BSBCC.
Pada masa Sama, Wong mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Hasanah dan Yayasan Sime Darby kerana menyokong usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh BSBCC bagi membolehkan pihaknya dapat meneruskan pemulihan beruang madu seperti Tenom dan diharapkan dapat melepaskannya kembali ke alam liar.