Rakyat Perlu Bersama Kerajaan Kekalkan Kestabilan Politik di Sabah – Hajiji

TUARAN: Seluruh rakyat di daerah Tuaran untuk bersama-sama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji  Noor berkata, kerjasama dan sokongan berterusan daripada rakyat, maka Kerajaan dapat memberi fokus terhadap kelancaran pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, banyak lagi kemudahan infrastruktur seperti balai raya, bekalan air dan elektrik serta jalan raya di kampung-kampung yang perlu dinaik taraf.

“Perancangan dan peruntukan bagi projek-projek ini telah dan sedang diatur untuk kebaikan semua rakyat.

“Sebagai Wakil Rakyat kawasan ini, saya akan memberi perhatian sewajarnya dalam setiap pemasalahan rakyat.

“Bukan hanya di kawasan ini, malah kita akan pastikan ia dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya di sini hari ini.

Hajiji merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, walaupun sentiasa sibuk kerana mentadbir negeri, namun hatinya tidak pernah melupakan penduduk kampung di kawasannya.

“Sebab itu pada hari ini, walaupun bulan Kaamatan yang diraikan sepanjang bulan Mei telah berakhir, saya tetap hadir menyantuni orang-orang kampung yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya selama ini.

“Saya berasa gembira kerana dapat balik kampung dan turun padang untuk berjumpa dan bersama-sama meraikan Pesta Kaamatan Suang Olung.

“Saya anggap sambutan Kaamatan Suang Olung ini amat istimewa kerana ia menggabungkan 11 buah kampung. Usaha ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dan toleransi di kalangan penduduk ini sentiasa kukuh dan terpelihara,” tegasnya.

Hajiji berharap semangat dan usaha yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus tersemat di dalam diri masyarakat untuk memacu peningkatan sosio ekonomi dan kemakmuran bersama.

Katanya, tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’, jelas meminta rakyat bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi dan semangat kekitaan yang tinggi.

Menurutnya, Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dan merupakan satu budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

“Pesta ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim, sama ada dari suku kaum Dusun Lotud, Kadazan atau Bajau Sama.