Masalah infrastruktur selesai penurunan kuasa lulus projek RM50 juta di Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya penurunan kuasa melulus projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta untuk menyelesaikan isu infrastruktur asas yang dihadapi rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiga infrastruktur asas iaitu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya luar bandar antara projek yang boleh dilaksanakan bawah kuasa berkenaan.

Katanya, perkara ini sangat dinantikan berikutan Sabah memang memerlukan projek pembangunan berkaitan ketiga-tiga infrastruktur asas itu berikutan masih banyak kawasan belum menikmati kemudahan asas yang memuaskan.

“Di Sabah, keperluan asas ada tiga iaitu bekalan air bersih, elektrik dan jalan kampung. Peruntukan RM50 juta ini boleh dimanfaatkan untuk tiga perkara ini.

“Ketika ini, kebanyakan jalan kampung di Sabah sukar dilalui jika musim tengkujuh manakala 30 peratus kampung tiada bekalan air bersih.

“Jadi, dengan keputusan ini kita boleh rancang perkara ini. Kerajaan dapat manfaat bagi melaksanakan projek untuk kepentingan rakyat dan memang itu yang kita harapkan dari dulu,” katanya, di sini, hari ini.

Bung Moktar merupakan Menteri Kerja Raya Sabah, berkata beliau amat mengalu-alukan pengumuman berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang baik memandangkan ia sudah lama dinantikan rakyat Sabah.

“Ini bermakna, Sabah boleh merancang sendiri apa yang diperlukan oleh rakyat negeri ini. Ia juga selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana Kerajaan Pusat perlu memberi pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di Sabah dan Sarawak.

“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut menaruh harapan agar Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat diberikan peruntukan secukupnya pada tahun ini bagi menyegerakan penyiapannya.

Langkah itu, katanya, penting bagi mengubat penantian rakyat Sabah yang sudah lama menunggu hasil daripada pelaksanaan lebuh raya tanpa tol itu.