Masalah air, permukaan lantai licin antara rungutan peniaga kepada Mayor Bandaraya

KOTA KINABALU : Masalah bekalan air tidak stabil serta permukaan lantai yang licin merupakan antara rungutan kalangan peniaga di kawasan Anjung Senja serta Pasar Malam Sinsuran di sekitar ibu negeri.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, peniaga terpaksa menunggu bekalan air sehingga larut malam berikutan tekannya rendah serta kadang kala terputus sekali gus menyebabkan peniaga terpaksa memendekkan masa serta waktu operasi perniagaan mereka.

Sabin Samitah

Katanya, peniaga mendakwa pada waktu puncak bekalan air sangat rendah menyebabkan mereka terpaksa bersengkang mata menunggu sehingga sehingga awal pagi untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Isu lain dikemukakan mereka adalah permukaan lantai yang licin, merupakan antara isu yang dikemukakan oleh peniaga serta meminta agar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi perhatian kepada jubin lantai ini dengan menggantikannya bagi mengelak air bertakung di atas permukaannya.

“Satu lagi runggutan peniaga iaitu kerap kali berlakunya masalah kes kecurian ketika larut malam di sekitar kawasan premis perniagaan serta gerai makanan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjalankan tinjauan di sekitar kawasan Anjung Senja, Pasar Malam Sinsuran dan Segama Waterfront di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie.

Samitah berkata, DBKK akan berusaha mengambil inisiatif segera untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan terbabit sekali gus menggantikan lampu yang lebih terang di kawasan berlakunya kes kecurian berkenaan.

“Isu kesesakkan juga menarik perhatian saya ketika berintraksi bersama peniaga di sana. Kita akan menjalin kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau keadaan ini terutama di waktu tertentu.

“Kita akan tengok pada malam esok terutama di hujung minggu, sama ada inisiatif awal ini berjaya atau tidak…..Kami tidak berjanji kesesakan tidak akan berlaku atau sebaliknya.

“Sekurang-kurangnya, DBKK mempunyai langkah awal ini disamping memberikan gambaran awal termasuk berusaha mencari inisiatif lain untuk mengatasi kesesakkan di kawasan pasar malam ini serta kawasan-kawasan lain yang menjadi tumpuan warga bandaraya,” jelas Sabin.