Mangsa dibaham buaya di Sungai Kampung Bilit, di Kinabatangan ditemukan

KINABATANGAN : Seorang lelaki di merupakan mangsa dibaham buaya ditemukan orang awam pada jarak satu kilometer di Sungai Kampung Bilit, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa dikenali sebagai Maznin Kahar,40, ditemui kira-kira jam 6 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama pasukan keselamatan dan menyelamat (SAR).

“Pasukan bomba bertindak mengambil mayat mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, BBP Kinabatangan menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada Balai Polis Sukau, pada jam 1.35 petang.

Maklumat awal yang diterima daripada saksi bahawa mangsa bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan.

Namun, ketika dalam perjalanan, bot mangsa secara tiba-tiba terlanggar sesuatu objek dan terbalik, sebelum dilaporkan karam.

Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai, tetapi mangsa dipercayai hilang dipercayai dibaham buaya.