KOTA KINABALU: Masalah bekalan air yang dihadapi adalah disebabkan oleh perubahan iklim kemarau El Nino iaitu cuaca panas kering dan bukan disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan air.
Pengerusi Majlis Sumber Air Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata penurunan paras air sungai mencapai 50 peratus berbanding paras biasa dan tujuh Loji Rawatan Air kini mencapai tahap yang membimbangkan terutamanya Kolam Takungan Air Pulau Sebatik, Tawau yang telah kering.
Katanya, Majlis mengambil maklum perkembangan tersebut dan membincangkan kaedah menanganinya bukan hanya untuk masa kini tetapi juga untuk jangka masa panjang.
“Sebab itu kita telah bersetuju untuk menggazetkan semua sumber-sumber air di setiap daerah terutama sekali di tujuh daerah yang mempunyai loji air.
“Kita mempunyai dua penggazetan, pertama ialah untuk perlindungan iaitu kawasan yang tidak boleh diganggu sama sekali walaupun ia kawasan tanah kerajaan, di luar Taman Negara atau Hutan Simpan. Kita mesti gazetkan kawasan-kawasan ini sebagai kawasan perlindungan,” katanya pada sidang media selepas bermesyuarat di Wisma Pertanian, hari ini.
Jeffery yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, terdapat kawasan sekitar kawasan perlindungan yang dikategorikan sebagai kawasan pemeliharaan akan digazetkan walaupun tanah bergeran dan mempunyai tanaman.
Sehubungan itu, katanya, dasar yang mengandungi peraturan-peraturan penggunaan tanah akan dirangka sebagai panduan menangani atau mengurus kawasan-kawasan pemeliharaan.
“Kita mesti jaga sumber air kita. Kalau tidak ada sumber, tidak ada air maka tidak ada air yang diurus oleh Jabatan Air…,” ujarnya.
Turut dibincangkan pada mesyuarat itu adalah kaedah menangani bekalan sumber air, antaranya ialah mencari sumber air dengan kaedah “Tube Well” atau telaga tiub, dan pemindahan air dari tempat yang ada air ke tempat yang tidak ada air melalui paip atau dengan pengangkutan.
Sementara itu, katanya, di sebalik kemarau ialah hujan dan banjir yang memberikan peluang mengumpul dan menyimpan air untuk kegunaan di musim kemarau.
Oleh itu, beliau berkata, majlis mencadangkan supaya diwujudkan “coastal reservoir” atau takungan pantai di kawasan hilir sungai.
“Tambahnya pembinaan kolam takungan air di ulu sungai juga dapat menyimpan air dan sekaligus mengurangkan risiko banjir di hilir.
“Yang penting sekali ialah memberi kefahaman kepada rakyat tentang kepentingan memelihara alam sekitar termasuk sungai-sungai dan mengamalkan konservasi,
“Setiap kampung perlu ada jawatankuasa kecil pemuliharaan dan penjagaan sumber air,” katanya.
Beliau berkata loji yang mendapat bekalan air dari Empangan Babagon beroperasi seperti biasa mengikut standard pengeluaran.
Jelasnya, berdasarkan kepada data Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) paras air di semua empangan seluruh negeri telah menunjukkan penurunan, antaranya Empangan Babagon turun 69 peratus yang bermakna bekalan hanya mencukupi 83 hari sekiranya cuaca panas kering berterusan.
Sekiranya paras air di empangan mencapai tahap kritikal, beliau berkata kemungkinan besar catuan air akan dilaksanakan.
“Tetapi buat masa ini keadaan masih terkawal. Air dibekalkan seperti biasa. Saya berkunjung ke Tambunan baru-baru ini dan mendapati walaupun paras air di sungai berhampiran telah surut, air masih boleh dibekalkan ke loji untuk kegunaan rakyat, seperti untuk air minum.
“Tetapi air sungai telah berkurangan dan tidak dapat membekalkan air untuk pertanian, sekaligus mengurangkan penghasilan,” katanya.
Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menjelaskan bahawa beberapa kawasan penanaman padi telah tekesan dengan cuaca panas kering yang menyebabkan hampir 50 peratus penurunan air sungai.
Antara kawasan yang terkesan ialah Kota Belud (267 ekar), Papar (135.12), Membakut (99.66 ekar) dan yang amat merunsingkan ialah Keningau (5,621.65 ekar).
Katanya, kaedah mengatasi masalah air di Keningau setakat ini ialah dengan menggunakan pam air bergerak untuk mengairi sawah padi berdekatan dengan sungai setelah kaedah saliran graviti tidak berfungsi akibat penurunan paras air sungai.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian sawah padi sudah mendekati musim menuai tetapi yang akan terjejas ialah musim penanaman yang seterusnya.
Oleh itu, katanya, pengeluaran padi kemungkinan terjejas bukan tahun ini tetapi tahun hadapan.