SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memulakan tinjauan tapak untuk pelaksanaan Projek Tamu Desa iaitu program baharu yang mula dilaksanakan tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, tinjauan itu telah pun dilaksanakan di 18 tapak tamu mingguan termasuk Kota Belud, Sipitang dan Sandakan.
“Pegawai dan agensi-agensi di bawah kementerian saya bersama Pegawai Daerah dan Juruteknik daerah berkenaan telah memulakan tinjauan di 18 tapak yang dipohon bagi mengenalpasti kesesuaian tapak dan kos perbelanjaan.
“Saya meminta tinjauan itu dilaksanakan bukan setakat mengenalpasti kos dan kesesuaian tapak tetapi memastikan tiada isu terkait dengan tanah tersebuy yang menyebabkan projek Tamu Desa di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Awal Pengajian sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Pelancaran Koperasi Libaran Sabah Berhad sempena Program Usahawan MADANI, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kementeriannya akan memulakan Projek Tamu Desa bagi menaiktaraf kemudahan keusahawanan di kawasan tamu sedia ada atau tamu baharu di Sabah dan Sabah bermula tahun ini.
“Setakat ini saya telah menerima beberapa permohonan Projek Tamu Desa daripada persatuan, komuniti dan wakil rakyat khususnya di Sabah. Sebab itu saya telah mengarahkan pegawai saya bersama agensi-agensi kementerian untuk meninjau tapak-tapak yang dipohon itu.
“Walaupun sebahagian tapak tamu itu telah saya lawati sebelum ini namun tinjauan itu penting bagi memuktamadkan atau memperincikan kos dan kelengkapan lain yang diperlukan.
“Contohnya di kota Belud, kita ada Tamu Mingguan sedia ada dan ada cadangan supaya tamu pada waktu malam diperkenalkan, maka keperluannya adalah untuk memasang tiang lampu solar.
“Selain itu, sekiranya kawasan itu tidak mempunyai liputan internet, kita juga perlu memasang kemudahan itu bagi memudahkan usahawan mempromosikan produk mereka secara online,” katanya.
Dalam lawatan kerja sehari ke Sandakan, Ewon turut meluangkan masa memenuhi undangan meninjau tapak cadangan pembinaan Tamu Desa di Ulu Dusun, Libaran.
Beliau berkata, tapak itu sangat sesuai kerana bersebelahan dengan sekolah rendah dan klinik kesihatan.
“Saya difahamkan penjaja-penjaja kecil berjualan setiap hari Isnin hingga Jumaat menggunakan meja dan khemah sahaja.Bagaimanapun, saya meminta isu kebenaran membina Tamu Desa serta konsensus penubuhan koperasi penjaja dibincangkan oleh pemegang-pemegang taruh di sini.
“Ini antara inisiatif saya serta komitmen Kerajaan dan kementerian untuk menaiktaraf dan mensejahterakan rakyat sesuai dengan wawasan ekonomi MADANI,” katanya.
Projek Tamu Desa merupakan cetusan idea Ewon untuk menambahbaik keperluan infrastruktur peniaga kecil dan para penjaja di kawasan luar perkadaran agar mereka boleh menikmati kemudahan yang lebih baik.
Perdana Menteri bersetuju dengan cetusan ini dan seterusnya memperuntukkan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan daripada jumlah peruntukan itu, RM1 juta akan disalurkan kepada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan.