MAIWP belanja RM30,000 beli baju raya untuk asnaf

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan membelanjakan RM30,000 bagi pembelian baju raya kepada 14 buah keluarga asnaf di pulau ini.

Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Md Fadzli Md Saad berkata, pembelian baju raya itu dilaksanakan menerusi Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri’ sebagai salah satu usaha MAIWP menyantuni golongan asnaf.

“Golongan asnaf yang kita pilih pada tahun ini merupakan penerima Bantuan Bulanan MAIWP yang mempunyai tanggungan melebihi lima orang,” katanya kepada media pada Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri di sebuah pasaraya di sini, pada Ahad lepas.

Jelasnya, program yang menjadi acara tahunan MAIWP bertujuan untuk membantu meringankan beban asnaf disamping menyemarakkan kegembiraan golongan tersebut ketika menyambut Hari raya Aidilfitri yang tidak lama lagi.

Md Fadzli berkata, program ini juga turut mendapat kerjasama Jabatan Penyiaran Labuan (RTM) yang telah menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan jabatan itu.

“Setiap anak asnaf juga menerima duit raya sebanyak RM50, manakala setiap ketua keluarga menerima duit raya RM100 sumbangan daripada Wakalah Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Turut memberikan duit raya ialah Jabatan Penyiaran (RTM) sebanyak RM150 setiap keluarga sumbangan dari Kelab Sukan dan kebajikan RTM.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Fauziah Sidek dan Eksekutif Kanan PPZ MAIWP Labuan Muhammad Haziq Abang Sapri.