Pihak berkuasa diminta siasat pengambilan pasir di Kampung Jagus Menumbok, Berangkok Kuala Penyu

MENUMBOK : UMNO bahagian Beaufort meminta pihak berkuasa agar menyiasat kerja-kerja pengambilan pasir yang berlaku di kampung Jagus Menumbok serta Berangkok di daerah Kuala Penyu.

Ketuanya Datuk Awang Aslee Lakat berkata, setakat ini mereka tidak mendapat maklumat yang tepat atau terperinci samaada kerja pengambilan pasir tersebut dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau sebaliknya.

Kegiatan mengorek pasir berlaku di Kampung Jagus Menumbok, Berangkok Kuala Penyu.

Menurutnya, beliau meminta Pejabat Daerah, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Tanah.Hasil Bumi, Jabatan Kerja Raya serta jabatan yang berkaitan agar menyiasat perkara ini.

“Jika ianya dilakukan tidak mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, tindakan serta merta menghentikanya perlu dilakukan sebaliknya jika ada kelulusan dari kerajaan ia perlu didedahkan kepada umum serta kerja-kerja dilakukan perlu mengikut prosuder yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Awang Aslee merupakan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort berkata, beliau dimaklumkan mengenai kerja-kerja pengambilan pasir di dua kampung terlibat menimbulkan kecurigaan penduduk kampung mungkin ianya dilakukan secara haram tanpa mendapat lesen atau kelulusan dari pihak berkuasa.

“Siasatan awal dilakukan, pasir dikorek ini diangkat dan di bawa ke Kudat untuk kilang Cermin dan Solar tapi berbeza dari maklumat pemandu pemandu lori yang mengangkat pasir ini mendakwa pasir tersebut dibuat ke Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu untuk dimuat ke dalam kapal laut dan di bawa ke negara China.

“Wujud dua penjelasan yang berbeza menimbulkan kecurigaan, dan apabila pihak kami bertanya kepada seorang pekerja di kawasan ini  beliau sendiri tidak boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, cuma Bahasa China jadi kami gagal mendapat maklumat yang tepat dan jelas,” jelas Awang Lakat.

Menurutnya lagi, penduduk kampung memaklumkan mereka beroperasi sehingga jam 3 pagi dengan menggunakan lori muatan 10 tan dalam kuantiti yang banyak bukan sahaja menjejaskan aspek keselamatan penduduk kampung malah turut merosakkan jalan raya yang sedia ada sehingga mendapat bantahan penduduk kampung.

“Saya harap pihak berkuasa dapat membuat lawatan dan penyiasatan terhadap perkara ini jika operasi mengorek pasir ini dilakukan tanpa kelulusan dari pihak berkuasa kerja-kerja pengorekan perlu dihentikan segara kerana ia akan merosakan eko sistem di kawasan tersebu,” tegas Awang Aslee.